Mengenal nabi kita
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad Pesuruh Allah.
Baginda Rasulullah S.A.W adalah rasul yang terakhir diutuskan untuk manusia sejagat dan merupakan orang yang paling hampir dengan Allah. Justeru, sebagai umat Islam maka hendaklah kita mencintai Rasulullah S.A.W sepertimana ayat yang tersebut dibawah:
Katakanlah: “Jika kamu [benar-benar] mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang.(Aali-’Imran:31).
Erti Cinta dan Patuh kepada Rasulullah S.A.W
Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa:
“Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah S.W.T tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad, bahawa sesungguhnya dia berdusta dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan percakapan dan amalannya.”
Para sahabat baginda S.A.W merupakan generasi manusia terbaik yang paling mencintai Rasulullah S.A.W sebagaimana banyak ayat Al Qur’an dan hadis yang menceritakan keredaan Allah S.W.T terhadap para sahabat dan keutamaan mereka di sisi Allah S.W.T dan Rasulnya. Sewajarnya umat Islam mencintai baginda S.A.W sebagaimana para sahabat mencintai baginda S.A.W. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Nabi), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya [Al-Qur'an], mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-A’raaf: 157)
Jelas menerusi dua ayat terdahulu, cinta kepada Allah S.W.T menuntut hamba-hambanya yang beriman agar menuruti Rasulnya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti ajaran Al-Qur’an yang disampaikan oleh baginda S.A.W.
Ciri-ciri seorang pencinta Rasulullah S.A.W yang sejati
- Menyeru kepada Tauhid dan menentang kesyirikan. Ini bertepatan dengan mencontohi tugas agung baginda S.A.W yang diutuskan Tuhan.
- Mempelajari Sunnah Rasulullah S.A.W melalui khazanah hadis-hadis baginda S.A.W dan mengamalkannya dengan berterusan disamping menyebarkannya.
- Mengenali keperibadian Rasulullah S.A.W dan menghayati sejarah hidupnya berpandukan buku-buku dan risalah-risalah yang terbukti menjaga kesahihan maklumat dan kebenaran cerita.
- Sentiasa mengingati Rasulullah S.A.W dengan memujinya dan memperbanyakkan selawat ke atasnya.
- Mempertahankan Rasulullah S.A.W dan ajaran islam daripada dihina dan diperlekehkan musuh-musuh Islam.
- Mencintai apa-apa yang dicintai Rasulullah S.A.W dan membenci apa-apa yang dibenci Rasulullah S.A.W.
Syafaat Rasulullah S.A.W
Antara rahmat yang Allah S.W.T kurniakan ketika hari Kiamat kelak adalah Syafaat Agung baginda S.A.W untuk membebaskan manusia daripada kegelisahan di mahsyar. (Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment